SATU perkara yang membezakan manusia dari makhluk ciptaan Allah yang
lain ialah keupayaan untuk berfikir dan memilih apa yang difikirkan.
Banyak perkara berbentuk material boleh diambil daripada seseorang
tetapi fikiran adalah sesuatu hak milik sepenuh seseorang dan ia
berupaya untuk mengawalnya. Fikiran menghasilkan emosi, emosi
menghasilkan tindakan dan tindakan menghasilkan hasil kehidupan yakni
kesihatan, ketenangan, kebahagiaan dan kewangan.
Apakah formula untuk berjaya? Orang yang berjaya, dia buat apa yang
orang tidak berjaya tidak suka lakukan. Bukan kerana dia suka tetapi ia
menjadikan perkara itu tabiat yang dibuat tanpa perlu berfikir lagi.
Apakah formula untuk menjadi hebat? Orang yang hebat dia buat tindakan
yang luar biasa, hasil daripada fikiran yang luar biasa dan menghasilkan
hasil kehidupan (kesihatan, kekayaan, ketakwaan dan kebahagiaan) yang
luar biasa.
Hakikatnya orang yang benar-benar bahagia dalam hidupnya, suka apa
yang dia buat dan buat apa yang dia suka dengan rahmat Allah dan
mendapat sokongan daripada orang di sekelilingnya.
Manusia ini ada dua golongan, iaitu "golongan komited" dan "golongan
beralasan". Ciri-ciri atau sikap orang yang dalam "golongan komited"
adalah seperti berikut. Pertama, dia sudah nampak masa hadapannya, yakni
dia melihat di dalam imaginasi apa yang dia percaya dan apa yang dia
akan jadi pada 10, 20, atau 30 tahun akan datang.
Kedua, sentiasa berfikiran positif, sedar dirinya unik dan yakin
dirinya hebat. Orang yang tidak yakin dirinya hebat bermakna dia tidak
yakin dengan kehebatan Allah yang menciptanya.
Ketiga, sentiasa ada niat dan perasaan "hendak memberi" bukan "hendak
mendapat". Oleh itu apabila dia membuat sesuatu kerja dia membuatnya
dengan ikhlas, bersungguh-sungguh dan memberi sebanyak mungkin manfaat
tanpa memikirkan berapa banyak manfaat yang dia boleh dapat, yakni dari
segi ganjarannya.
Keempat, dia akan sentiasa berasa sesuatu benda atau perkara itu
banyak dan rezeki sangat luas. Oleh itu dia sentiasa berlapang dada,
tidak tamak haloba dan tidak berasa iri hati apabila dia tidak
berpeluang memperolehnya.
Kelima, sangat berdisiplin untuk mencapai cita-citanya. Keenam,
sentiasa boleh mengawal "dunia dalaman" (fikiran dan emosi) yang
menentukan keputusan pilihan dan tindakannya dalam mencapai hasil
kehidupannya.
Ciri-ciri atau sikap orang yang dalam "golongan beralasan". Pertama,
tidak ada perancangan dan matlamat hidup. Kedua, sentiasa mengutuk diri
sendiri dan berasa rendah diri hingga tidak berani mencuba sesuatu yang
baharu dan asing buat dirinya.
Ketiga, sangat berkira dan suka memberi "alasan" apabila tidak
berjaya bukan mencari "jalan" untuk mencapai kejayaan. "Alasan"
kegagalannya itu selalunya dikatakan berpunca daripada orang lain atau
faktor luaran.
Keempat, sentiasa berasa dunia ini sempit, rezeki sedikit dan peluang
terhad dan akan berebut dan cepat merasa dengki dengan kejayaan orang
lain. Oleh itu dia sentiasa hendak bersaing, kedekut dan sering enggan
memberi kerjasama. Kelima, tidak tetap pendirian dan tidak konsisten.
Keenam, berfikiran negatif dan sangat emosional.
Manusia boleh berubah menjadi baik, yakni daripada "golongan
beralasan" menjadi "golongan komited" dengan cara membuat perubahan
paradigma. Paradigma bermaksud bagaimana seseorang itu berfikir dan
kemudian memberikan respons emosi terhadap apa-apa yang berlaku.
Dalam Kamus Dewan paradigma bermaksud batasan pemikiran
seseorang pada sesuatu masa yang dipengaruhi oleh pengalaman. Paradigma
terkandung dalam "minda sedar" iaitu apa yang kita fikirkan dan
terkandung juga dalam minda segar/minda bawah sedar (roh) yang 95
peratus menentukan kehidupan seseorang.
Oleh itu seseorang boleh mengubah paradigma dengan mengubah cara
berfikir. Sebenarnya apa yang kita lihat bukan dengan mata fizikal
tetapi kita melihat melalui mata hati kita. Apabila seseorang mempunyai
banyak ilmu yang luas tafsirannya terhadap sesuatu yang dilihatnya
menjadi luas berbanding dengan orang yang kurang berilmu.
Paradigma yang akan menentukan hasil kehidupan (kesihatan, kekayaan
ketenangan dan kebahagiaan. Demikianlah betapa pentingnya ilmu, kerana
kekuatan minda dan fikiran ditentukan oleh saringan dan pilihan bahan
bacaan dan tontonan yang mampu menjadikan kita kaya dengan ilmu.
Oleh itu bagi menentukan sama ada kita termasuk dalam "golongan
berjaya" atau "golongan komited" sangat-sangat bergantung kepada pilihan
kehidupan kita yang kelima, iaitu "minda dan fikiran".
Oleh sebab itulah saya perkenalkan satu konsep atau gaya pemikiran yang saya namakan "Reset Minda" iaitu sains kehidupan yang mengikut sunatullah, yakni undang-undang alam yang dicipta Allah.
"Reset Minda" memandu arah bagaimana kita "berfikir" (melalui minda
sedar/akal) dan bagaimana kita "beremosi" (melalui minda bawah
sedar/hati) apabila berhadapan dengan sesuatu situasi.
"Reset Minda" adalah konsep pemikiran bagaimana mengubah cara kita
melihat sesuatu kejadian
dan peristiwa yang terjadi ke atas kita. Kalau
sesuatu kejadian itu menyedihkan kita, terimalah ia sebagai satu ujian
daripada Allah dan kita reda. Sebaliknya jika peristiwa gembira yang
hadir dalam hidup kita, terimalah sebagai satu rahmat daripada Allah dan
kita bersyukur serta sedari bahawa apa yang kita peroleh itu bukan
kerana kehebatan kita, tetapi kurniaan Allah Yang Maha Pemurah dan Maha
Berkuasa.
Dengan kedua-dua cara ini, kita akan menjadi seorang yang tabah dan
tidak riak, malah akan sentiasa merendah hati (bukan merendah hati).
Memegang resmi padi "semakin berisi semakin beliut-lentuk menyembah
bumi", bukan seperti lalang "mencanak ke langit tinggi kosong tidak
berisi". Dengan sikap ini kita akan disenangi oleh orang di sekeliling
kita, dan kita pula menjadi seorang yang bahagia dan membahagiakan.
Ubah cara kita melihat sesuatu, (Reset minda) jika sesuatu masalah
menimpa kita, lihatlah masalah itu sebagai satu peluang; yakni "batu
loncatan" bukan "batu halangan" untuk capai satu kejayaan yang baharu.
Kalau kita fokus kepada perkara yang baik/positif insya-Allah kita
akan dapat perkara yang baik sahaja. Masalahnya sekarang, kita suka
fokus kepada masalah, jadi masalah pun datang dan kalau memang sudah
sedia ada masalah, masalah menjadi semakin membesar.
Oleh sebab itu dalam konsep pemikiran "Reset Minda" disarankan kita
menjaga tiga perkara. Pertama, kata-kata yang keluar dari mulut kita.
Kedua, fikiran yang berkisar dalam minda kita. Ketiga, perasaan yang
berbolak-balik dalam hati kita. Pastikan semua kata-kata itu, yang
positif, dan jangan ada sama sekali kata-kata negatif.
Hal ini adalah sangat penting kerana, dalam Islam kata-kata itu adalah satu doa. Sebagaimana Hadis Qudsi menyatakan, "Allah
bertindak berdasarkan apa yang ada dalam fikiran kita atau sangkaan
kita; kalau kita sangka baik, baiklah yang kita dapat, demikianlah
sebaliknya. Oleh itu bersangka baiklah dengan Allah,".
Demikianlah kepentingan minda atau akal anugerah Allah yang
membezakan manusia dengan haiwan. "Lalang suburnya kerana akar,
rentaplah akarnya, lalang bakal kering terkapar". Kalau "orang mulianya
kerana akal, jagalah akalnya, hati menjadi cekal, minda menjadi segar."
(dalam buku Mata Akal Mata Hati). Jom audit diri. "Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak".
-Dr. Muhaya-
No comments:
Post a Comment