TERAS KEDUA: MENGUKUH PENGURUSAN FISKAL
Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST dan Bantuan Sokongan)
97. Kerajaan mendapati cukai jualan dan cukai perkhidmatan semasa,
mempunyai kelemahan-kelemahan tertentu seperti kesan cukai berganda ke
atas pengguna, ketiadaan pelepasan cukai ke atas barang yang dieksport
dan isu pindahan harga atau transfer pricing. Kelemahan ini akhirnya
akan merugikan rakyat sebagai pengguna dan pihak Kerajaan.
98. Pada Bajet tahun 2013, Kerajaan telah membayangkan tentang usaha
besar pengukuhan kedudukan fiskal negara. Malah sebelum itu, Rang
Undang-Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan telahpun dibacakan di dewan
yang mulia ini. Sejak itu, pelbagai reaksi positif mahupun negatif dan
pandangan telah kita terima.
99. Hakikatnya, Kerajaan telahpun
mengambil tempoh beberapa tahun, yakni masa yang mencukupi untuk
menjalankan kajian dengan teliti dan menyeluruh serta mengambil kira
semua pandangan dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk dewan
perniagaan, pelabur, pakar ekonomi, ahli akademik, persatuan pengguna
dan NGO.
100. Lantaran itu, berasaskan prinsip mendahulukan
rakyat, Kerajaan dengan ini memutuskan supaya satu sistem percukaian
menyeluruh dan saksama perlu segera dilaksanakan bagi memanfaatkan
seluruh rakyat Malaysia.
101. Sehubungan itu, Kerajaan
mencadangkan cukai jualan dan cukai perkhidmatan atau Sales Tax and
Services Tax dimansuhkan. Dua cukai yang dimansuhkan ini pula akan
digantikan dengan satu cukai sahaja yang dikenali dengan nama Cukai
Barang dan Perkhidmatan atau Goods and Services Tax atau GST.
Ringkasnya, perlu saya tegaskan, bahawa GST bukanlah cukai tambahan
baru.
102. Realitinya, kadar inflasi kini adalah pada tahap
yang rendah di paras dua peratus. Kerajaan yakin, ini adalah masa yang
terbaik untuk melaksanakan GST kerana kadar inflasi adalah minimum dan
terkawal.
103. Dengan pelaksanaan GST, Kerajaan dapat
menangani banyak kelemahan dalam sistem percukaian sedia ada. Sebagai
contoh, pada waktu ini, sekiranya kita membeli minuman berkarbonat di
restoran, tanpa kita sedari, kita telah membayar dua kali cukai, yakni
cukai jualan dan cukai perkhidmatan.
104. Dalam bahasa
mudahnya, untuk difahami oleh semua, dalam sistem GST ini, pengguna
hanya perlu membayar satu kali cukai sahaja. Realitinya juga, perubahan
harga barang atau perkhidmatan apabila GST dilaksanakan adalah amat
minimum. Malahan, ada harga barangan yang akan menjadi lebih murah
bergantung samada ianya adalah barangan asas atau tidak.
105.
Kerana itu, kita berasa amat kecewa, apabila, sesetengah pihak tidak
bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan dengan mengelirukan orang
ramai terhadap kefahaman GST. Mereka mengatakan apabila GST
dilaksanakan, kononnya, semua harga barang akan melambung naik, dan
rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah akan menanggung beban.
106. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, lebih 160 buah negara di
dunia telah pun melaksanakan GST. Ini menunjukkan bahawa GST adalah satu
sistem percukaian yang terbaik setakat ini dan terbukti berkesan.
Sekiranya GST ini memudaratkan rakyat dan negara, masakan majoriti
negara di dunia telah mengguna pakai sistem percukaian ini. Hampir
kesemua negara maju telah lama melaksanakan GST atau VAT atau cukai
nilai ditambah ini, malah negara-negara ASEAN seperti Indonesia,
Filipina, Laos dan Cambodia telah melaksanakannya. Malahan,
negara-negara seperti Burkina Faso, Burundi, Zimbabwe, Rwanda dan Kenya
pun telah melaksanakan GST.
107. Di pihak Kerajaan pula,
perundangan GST, sistem pengkomputeran, latihan pegawai, kemudahan
infrastruktur GST dan pelan komunikasi yang menyeluruh telahpun
disediakan.
108. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, cadangan model GST yang akan dilaksanakan di Malaysia adalah seperti berikut:
Pertama: GST akan berkuatkuasa mulai 1 April 2015, iaitu kira-kira 17
bulan dari sekarang. Kadar GST yang ditetapkan adalah hanya sebanyak
enam peratus berbanding dengan kadar cukai jualan iaitu lima dan 10
peratus dan cukai perkhidmatan pada kadar enam peratus.
Kadar
GST ini merupakan yang terendah dikalangan negara ASEAN di mana
Indonesia, Vietnam, Cambodia, Filipina dan Laos mengenakan GST pada
kadar 10 peratus dan Singapura serta Thailand pada kadar tujuh peratus;
Kedua: Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
usahlah bimbang, janganlah risau, GST tidak akan dikenakan kepada
barangan makanan asas antaranya beras, gula, garam, tepung, minyak
masak, kacang dhal, rempah ratus, ikan masin, cencalok, budu sekalipun
belacan;
Ketiga: Bekalan air paip dan 200 unit pertama elektrik sebulan bagi pengguna domestik tidak dikenakan GST;
Keempat: Perkhidmatan yang disediakan oleh Kerajaan seperti pengeluaran
pasport, lesen, perkhidmatan kesihatan, pembelajaran di sekolah, tidak
dikenakan GST;
Kelima: Perkhidmatan pengangkutan seperti
perkhidmatan bas, keretapi, LRT, teksi, feri, bot, tol lebuhraya serta
perkhidmatan pendidikan dan kesihatan dikecualikan dari GST; dan
Keenam: Jual beli dan sewaan rumah kediaman serta perkhidmatan kewangan yang terpilih juga dikecualikan dari GST.
109. Apabila GST dilaksanakan kelak, Kerajaan akan memberi pelbagai
bantuan sokongan semasa peringkat peralihannya seperti berikut:
Pertama: Bantuan tunai secara one-off sebanyak 300 ringgit kepada penerima isi rumah BR1M;
Kedua: Kadar cukai pendapatan individu akan dikurangkan satu hingga
tiga mata peratusan untuk semua pembayar cukai bagi menambah pendapatan
boleh guna. Dengan pelaksanaan langkah ini, seramai 300 ribu orang yang
kini membayar cukai pendapatan tidak lagi perlu membayar cukai. Umumnya,
golongan berkeluarga yang berpendapatan empat ribu ringgit sebulan
tidak lagi mempunyai tanggungan cukai. Pembayar cukai sedia ada yang
lain juga akan menikmati penjimatan bayaran cukai; dan
Ketiga:
Struktur cukai pendapatan individu akan disusun semula untuk menjadikan
negara lebih kompetitif di samping mengekal dan menarik bakat serta
tenaga mahir dalam negara. Bagi mempastikan struktur cukai lebih
progresif, pendapatan bercukai pada kadar maksimum dinaikkan daripada
melebihi 100 ribu ringgit kepada melebihi 400 ribu ringgit. Kadar cukai
maksimum kini 26 peratus pula dikurangkan kepada 24, 24.5 dan 25
peratus.
Langkah-langkah tersebut akan berkuatkuasa mulai tahun 2015.
110. Dalam aspek ini, supaya syarikat perniagaan melaksanakan GST
dengan lancar, Kerajaan mencadangkan pakej tambahan seperti berikut:
Pertama: Kadar cukai pendapatan syarikat dikurangkan satu mata
peratusan daripada 25 peratus kepada 24 peratus. Manakala kadar cukai
pendapatan syarikat kecil dan sederhana dikurangkan satu mata peratusan
daripada 20 peratus kepada 19 peratus. Langkah ini berkuatkuasa mulai
tahun taksiran 2016;
Kedua: Kadar cukai pendapatan koperasi dikurangkan satu hingga dua mata peratusan mulai tahun taksiran 2015;
Ketiga: Yuran kesetiausahaan dan pemfailan cukai dibenarkan potongan cukai mulai tahun taksiran 2015;
Keempat: Kos pembelian peralatan dan perisian ICT diberi lanjutan Elaun Modal Dipercepatkan sehingga tahun taksiran 2016;
Kelima: Perbelanjaan latihan perakaunan dan ICT berkaitan GST bagi
tahun taksiran 2014 dan 2015 diberi potongan cukai tambahan; dan
Keenam: Geran latihan sejumlah 100 juta ringgit kepada peniaga yang
menghantar kakitangan, untuk menjalani latihan GST bagi tahun 2013 dan
2014. Di samping itu, bantuan kewangan sejumlah 150 juta ringgit
disediakan kepada PKS bagi pembelian perisian perakaunan bagi tahun 2014
dan 2015.
111. Dengan pelbagai pakej istimewa yang disediakan
ini, Kerajaan yakin, tiada pihak yang akan mengambil kesempatan untuk
menaikkan harga barang dan perkhidmatan sewenang-wenangnya. Harga barang
akan sentiasa dipantau. Sebagai panduan kepada pengguna, Kerajaan akan
menerbitkan risalah harga barang dan perkhidmatan yang boleh digunakan
untuk membuat perbandingan harga.
112. Kepada pengguna pula,
gunakanlah hak anda dalam membuat pilihan, berbelanja secara berhemah.
Dalam hal ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan akan meningkatkan usaha penguatkuasaan melalui Akta Kawalan
Harga dan Anti Pencatutan 2011.
113. Selain itu, bagi
memastikan kelancaran pelaksanaan GST, satu Jawatankuasa Pemantauan GST
akan ditubuhkan yang dipengerusikan oleh Menteri Kewangan Kedua dengan
dianggotai oleh agensi Kerajaan, wakil industri dan NGO.
~Copy & paste from official facebook of Prime Minister Malaysia~
No comments:
Post a Comment